Sabtu, 9 Disember 2017 | 7:59pm
DATUK Seri Najib Razak bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Ahli Majlis Tertinggi memegang tangan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 ditangguhkan di Dewan Merdeka, PWTC. - Foto Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Najib Razak bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama Ahli Majlis Tertinggi memegang tangan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 ditangguhkan di Dewan Merdeka, PWTC. - Foto Eizairi Shamsudin

'Tolak pemimpin lapuk'

KUALA LUMPUR: Masa depan negara hanya boleh ditentukan pemimpin dinamik yang berupaya mencorak laluan seiring kemajuan, sekali gus wajar menutup ruang terhadap golongan dari masa lampau.

Pemimpin lapuk, kata Datuk Seri Najib Razak, hanya mampu membawa idea lama untuk generasi hari ini dan akan datang.

Merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri berkata, pemimpin pembangkang itu tidak mempunyai kemampuan membawa serta melaksanakan idea baharu dalam menjayakan wawasan membawa Malaysia ke persada antarabangsa.

"Kalau mahukan 'party for the future of the future' (parti masa depan untuk masa depan), kita tidak boleh terima 'men from the past) (pemimpin lapuk)... tak logik.

"'Men from the past' akan membawa idea masa lampau untuk masa kini dan akan datang.

"Kita mahu idea baharu, digital Malaysia. Kita mahu menjual e-platform kepada dunia, kita sudah ada 2,000 SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana), kita lihat jualan harian di China mencecah AS$26 bilion.

"Jika kita nak kaya, nak orang Melayu Bumiputera maju, kena melangkau, kena jalan lebih deras lagi. Jangan lagi bertatih, jalan laju, melalui e-plaftorm dan sebagainya boleh menguasai dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Najib yakin UMNO adalah parti masa depan untuk masa depan dan perlu berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan menentukan masa depan negara.

"Saya dengar khabar, ada orang bernama Lim Kit Siang berminat nak menjadi Perdana Menteri. Kalau tak percaya tanya bekas wakil rakyat DUN Jawi (Tan Beng Huat), hari ini dalam surat khabar kata, dia percaya Kit Siang berminat hendak menjadi Perdana Menteri.

"Dia (Beng Huat) tak boleh terima, dia keluar DAP kerana Kit Siang diktator dan kuku besi dan tidak boleh terima cara Kit Siang.

"Ada dengar juga ada orang umur 93 tahun berminat nak menjadi Perdana Menteri semula. Yang senja meniti malam, (bekas Presiden) Zimbabwe (Robert Mugabe) pun dah tak ada.

"Belah sana (pembangkang) sudah tak menentu, takkan kita nak letak masa depan negara kita antara dua orang ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, UMNO sebagai parti masa depan mempunyai agenda negara yang bukan saja jauh lebih baik malah terbukti kejayaannya.

Dengan pelbagai program pembangunan dan transformasi, katanya, Malaysia terus melakar sejarah dan pencapaian memberangsangkan di dalam dan luar negara demi kepentingan rakyat.

Berita Harian X