Sabtu, 9 Disember 2017 | 4:53pm
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Zunnur Al Shafiq
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Zunnur Al Shafiq

Perang mesti menang - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menggesa semua ahli UMNO memberi seluruh tumpuan kepada usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, seluruh perwakilan dan jentera UMNO tidak usah mengulangi ketetapan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, sehingga berdepan dengan pilihan raya.

"Pada tahun ini, kita sepakat menetapkan satu keputusan di luar kebiasaan apabila usul ucapan dasar presiden diluluskan dengan pindaan. Tambahan pernyataan yang dibuat untuk mengekalkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden dan mengesahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Presiden dalam pemilihan parti akan datang, kita terima secara sebulat suara.

"Keputusan ini lahir atas kesedaran bahawa jika kita ingin terus mendapat mandat rakyat, seluruh tumpuan perlu dihalakan kepada keutamaan untuk memenangi pilihan raya.

"Selaku Naib Presiden, saya menyeru seluruh perwakilan serta seluruh jentera parti agar tidak lagi mengulangi ketetapan ini sehinggalah kita berhadapan dengan pilihan raya kerana kita tidak ada pilihan. Perang mesti menang!," katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata UMNO perlu berada di landasan tepat untuk mendapat mandat besar dan sokongan rakyat bagi meneruskan usaha membawa kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau juga yakin presiden parti mempunyai lebih banyak agenda dan hala tuju untuk membina tamadun dan masa depan negara yang jauh lebih baik.

"Namun, semuanya bergantung kepada sokongan rakyat di peti undi. Matlamat kita adalah kemenangan. Kita mesti berada dalam kaedah pilihan raya. Laksanakan arahan kepimpinan.

"Marilah kita satukan iltizam dan bulatkan tekad. Boleh? Boleh kita gempur dan tawan kubu musuh? Kita serang mereka. Boleh? ​​Kita ranapkan Pakatan Harapan DAP," katanya yang disambut tepukan dan sorakan perwakilan.

"Bangun dan bangkitlah tuan-tuan dan puan-puan orang UMNO! Bersatulah seolah-olah kita tidak pernah bersatu sebelum ini. Kukuhkan solidariti, rapatkan barisan, eratkan perpaduan.

"Adat bersaudara, saudara dirapatkan. Adat bernegeri, negeri dimakmurkan. Adat beragama, agama didaulatkan. Adat berbangsa, kuasa bangsa dipertahankan," katanya.

Berita Harian X