Sabtu, 9 Disember 2017 | 3:15pm
BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat. - Foto BERNAMA
BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat. - Foto BERNAMA

Keluar parti hak ahli DAP

ctfa@bh.com.my

GEORGETOWN: DAP Pulau Pinang hari ini, menyifatkan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat meninggalkan parti itu adalah disebabkan rasa tidak puas hati selepas tidak mendapat sebarang jawatan dalam parti.

Naib Pengerusi DAP negeri, Zairil Khir Johari, berkata tindakan Beng Huat bersama 100 ahli dan penyokong DAP keluar parti semalam, adalah hak masing-masing kerana parti itu tidak pernah menghalang mana-mana ahlinya berbuat demikian.

"Mana-mana ahli yang tidak puas hati terhadap parti mempunyai banyak ruang untuk meluahkannya. Tetapi, maklumlah kadang-kadang ada yang tidak puas hati selepas tidak dapat jawatan dan sebagainya.

"Ini adalah lumrah dalam politik dan saya percaya ia tidak menjejaskan kepercayaan (ahli terhadap DAP). Saya pasti rakyat dapat menilai keikhlasan tindakan yang dibuat itu," katanya menerusi aplikasi WhatsApp dengan BH di sini, hari ini.

Semalam, Beng Huat bersama 100 ahli dan penyokong DAP Nibong Tebal mengumumkan keluar parti selepas merasakan DAP bukan lagi 'bumbung yang selamat' bagi mereka berteduh berikutan wujudnya elemen dinasti keluarga.

Beng Huat berasakan prinsip serta ideologi sosialis demokrat yang diamalkan parti itu sudah berubah selepas DAP menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sehingga jasa ahli veteran dilupakan.

Beng Huat, juga turut mengakui sikap Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai punca beliau meninggalkan parti yang disertainya lebih 10 tahun lalu.

Beliau yang berkhidmat sebagai ADUN selama satu penggal mulai 2008 melihat Kit Siang cuba membina dinasti keluarga dalam parti itu sehingga timbul pelbagai isu dan masalah, selain memang terdapat 'cakap-cakap' di dalam DAP mengatakan Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri, walaupun Ahli Parlimen Gelang Patah itu menafikan berniat demikian.

Mengulas mengenai kewujudan dinasti keluarga dalam DAP selain 'cakap-cakap' yang mendakwa Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, perkara itu adalah rekaan dan fitnah semata-mata.

"Ini kerana semua pemimpin DAP dipilih melalui pemilihan yang membabitkan perwakilan dari seluruh negara.

"Tidak kira Kit Siang ataupun Guan Eng, kedua-duanya dipilih secara demokratik dan tiada unsur dinasti atau sebagainya. Malah, Kit Siang sudah banyak kali cakap (beliau) tidak pernah ada niat hendak jadi Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi GERAKAN negeri, Oh Tong Keong berkata, perubahan ideologi perjuagan DAP, termasuk isu kerjasama Kit Siang dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan ahli parti itu hilang kepercayaan terhadap DAP.

"Dulu sebelum 2008 ahli DAP, terutama masyarakat Cina merasakan parti itu satu-satunya yang boleh perjuangkan rakyat, namun kini ideologi perjuangan DAP sudah jauh berubah dan paling ketara adalah kerjasama Kit Siang dan Dr Mahathir.

"Keadaan ini sekali gus membuktikan matlamat perjuangan DAP sudah tersasar dengan membuat pusingan U apabila bekerjasama dengan individu yang dulunya dituduh sebagai rasis dan korup," katanya.

Berita Harian X