Sabtu, 9 Disember 2017 | 12:22pm
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata sesuatu kepada Norazilinah Abd Aziz (ibu) sambil mencuit adik Amsyar yang menghidap sakit " Biliary Atresia" semasa melancarkan tabung dan sidang akhbar. Turut hadir Ketua Pemuda Kuala Pilah , Khairolnezam Shaari (duduk kanan) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur . - Foto Mohd Yusni Ariffin
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata sesuatu kepada Norazilinah Abd Aziz (ibu) sambil mencuit adik Amsyar yang menghidap sakit " Biliary Atresia" semasa melancarkan tabung dan sidang akhbar. Turut hadir Ketua Pemuda Kuala Pilah , Khairolnezam Shaari (duduk kanan) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur . - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pemuda UMNO lancar 'Tabung Adik Amsyar'

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO melancarkan 'Tabung Dana Adik Amsyar' bagi menampung kos pembedahan dan rawatan susulan bayi berkenaan di China.

Tabung berkenaan akan digerak di beberapa kawasan strategik, sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sempena penganjuran Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) yang bakal melabuhkan tirainya, hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin, menyifatkan penyakit hati kronik dan saluran hempedu tersumbat dialami Muhammad Amsyar Muhammad Illyas sebagai kes terpencil.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO tampil melancarkan dana kilat untuk bayi berusia 13 bulan berkenaan bagi mendapatkan rawatan di China yang dijangka seawal 15 Januari tahun depan.

"Adik Amsyar memerlukan sumbangan RM350,000 untuk menampung kos pemindahan hati dan rawatan susulan, namun dana terkumpul setakat ini adalah RM108,000.

"Kita perlu segerakan dana ini kerana Amsyar mempunyai kira-kira sebulan dari sekarang sebelum tarikh pembedahan, justeru Pemuda UMNO akan cuba sedaya upaya untuk membantu.

"Saya harap rakyat Malaysia tampil menghulurkan sumbangan walau sekecil mana pun jumlahnya untuk membantu meringankan bebanan Amsyar," katanya yang menyalurkan sumbangan peribadi RM20,000 ketika pelancaran tabung berkenaan di Laman Media, PWTC, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Kuala Pilah, Khairolnezam Shaari.

Muhammad Amsyar, anak bongsu daripada empat beradik, dikesan mengalami masalah kesihatan sejak berusia empat hari, namun penyakitnya hanya disahkan selepas menerima rawatan ketika berusia dua minggu.

Bapa Amsyar, Muhammad Illyas Isa, 32, berkata ujian untuk memeriksa kesesuaian hati sebagai penderma dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Februari lalu.

Beliau yang tidak bimbang melakukan pembedahan hati demi anaknya itu, turut berharap dana secukupnya berupaya dikumpulkan sebelum penghujung tahun ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Norazlinah di talian 010-4007839 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 505028613765.

Berita Harian X