Selasa, 5 Disember 2017 | 9:59pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Majlis Tertinggi menyanyikan lagu Umno pada Majlis Perasmian Pegerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di PWTC.- Foto Aizuddin Saad
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Majlis Tertinggi menyanyikan lagu Umno pada Majlis Perasmian Pegerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di PWTC.- Foto Aizuddin Saad

Lima kriteria jadi calon PRU-14

KUALA LUMPUR: Ahli parti yang berwibawa, dinamik dan memiliki kematangan akan diutamakan untuk menjadi calon UMNO pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ketiga-tiga aspek itu membabitkan lima kriteria iaitu mereka yang boleh menang, disukai, berkebolehan, dipercayai dan pintar.

"Politik ketertiban bermula dengan pemilihan pemimpin itu sendiri yang mempunyai kebijaksanaan. Untuk itu, dalam memilih calon, UMNO akan memilih yang terbaik.

"Saya akui aura kepemimpinan paling sukar ditemui ialah 'disukai' kerana apabila seseorang itu terpilih menjadi calon, pasti akan ada yang cemburu kepadanya.

"Disebabkan itulah, kita memerlukan pemimpin bercirikan 'qudwah hasanah' iaitu mampu memimpin dengan contoh dan teladan terbaik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap ahli UMNO perlu menjauhi sikap buruk seperti mencari kejayaan peribadi, sebaliknya perlu kekal berjuang demi parti dan agenda arjana (kejayaan) bangsa.

Sehubungan itu, katanya, seluruh kepemimpinan pergerakan sayap UMNO perlu akur dengan sebarang keputusan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, dalam penentuan calon yang akan dipilih nanti.

"Biarlah kita sepakat dan akur sepenuhnya dengan keputusan Presiden parti. Kita perlu menghayati konsep 'jiwa jama'ie' iaitu belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan," katanya.

Berita Harian X