Jumaat, 22 September 2017 | 2:38pm
TAN Sri Abu Hassan Omar (kiri), Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (tengah) dan Dr Mohamad Khir Toyo.- Foto NSTP
TAN Sri Abu Hassan Omar (kiri), Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (tengah) dan Dr Mohamad Khir Toyo.- Foto NSTP

Idea, pengalaman 3 bekas MB Selangor boleh bantu BN, UMNO

KUALA LUMPUR: Idea dan pengalaman tiga bekas Menteri Besar (MB) Selangor yang pernah bertanggungjawab mencatur strategi jentera Barisan Nasional (BN) negeri wajar digembleng dalam mengatur persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tan Sri Abu Hassan Omar, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Dr Mohamad Khir Toyo adalah individu dilihat ramai, masih mempunyai `taring' dan `bisa' selain pengaruh dalam kalangan pengundi khususnya di kawasan pernah diwakili mereka.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ainul Adzellie Hasnul, berkata gabungan pengalaman, idea dan strategi tiga bekas Menteri Besar itu mampu memantapkan kekuatan jentera BN kerana pernah memegang jawatan Pengerusi BN negeri.

Beliau yakin tenaga dan pemikiran mereka boleh digunakan untuk membantu jentera BN merampas kembali Selangor daripada pakatan PKR-DAP-PAS, apatah lagi dalam keadaan kemelut pembangkang yang berlaku dalam kerajaan negeri ketika ini.

"Ini peluang terbaik untuk BN Selangor memenangi PRU Ke-14. Ketiga-tiga tokoh ini boleh menjelajah seluruh negeri, menjelaskan peranan BN dengan Muhammad boleh mendedahkan kepincangan dalam pakatan pembangkang.

"Beliau (Muhammad) pernah menyatakan bahawa mesyuarat PKR tidak langsung membincangkan agenda Melayu dan penjelasan beliau itu perlu diterangkan kepada rakyat Selangor.

"Saya lihat gandingan ketiga-tiga tokoh ini boleh membantu Tan Sri Noh Omar (Pengerusi UMNO Selangor) dalam menjelaskan peranan BN untuk memenangi PRU-14. Mereka masih mempunyai penyokong dan masih `berbisa'," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata gandingan tiga bekas Menteri Besar itu mampu memberi impak kepada kekuatan jentera BN khususnya UMNO Selangor kerana masing-masing ada pengikut dan berjasa kepada rakyat negeri berkenaan.

Beliau berkata, sama ada gandingan itu mampu menumbangkan pembangkang bergantung kepada cara kerja dan tindakan mereka untuk meyakinkan pengikut bagi menyokong BN dan UMNO.

Katanya, mereka perlu turun padang bertemu rakyat, khususnya Muhammad bagi memperjelaskan tindakannya keluar UMNO dan bersama PAS, kemudian PKR selama lima tahun sebelum kembali ke pangkuan UMNO.

"Video ucapan beliau ketika dalam pembangkang sekarang viral dan beliau perlu menjawabnya. Pengikutnya juga mesti dibawa bersama menyokong BN/UMNO.

"Begitu juga dengan Mohamad Khir dan Abu Hassan. Mereka mempunyai kelebihan kerana terus setia bersama UMNO. Jadi mereka lebih senang diterima rakyat Selangor.

"Turun padang bertemu orang ramai adalah cara terbaik untuk mereka membantu BN/UMNO. Mereka pernah menjadi Menteri Besar, tahu cara terbaik untuk menyampaikan mesej kepada rakyat," katanya.

Berita Harian X