Sabtu, 16 September 2017 | 3:21pm

PAS tak terdesak umumkan calon awal

KUALA TERENGGANU: PAS tak perlu terburu-buru untuk mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di 100 kerusi parlimen di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husain Awang, berkata senarai calon itu hanya akan diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas parlimen dibubarkan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon serta PRU.

Katanya, PAS hanya akan melancarkan jentera pilihan raya peringkat kebangsaan pada program Fastaqin 2.0 yang diadakan selama dua hari di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, akhir bulan ini.

"Program itu tiada kaitan untuk mengumumkan senarai calon, tetapi hanya melancarkan jentera pilihan raya peringkat kebangsaan selain mengadakan pelbagai program ilmiah yang dijangka disertai lebih 200,000 pemimpin serta ahli parti dari seluruh negara.

"Saya menafikan dakwaan yang mengatakan PAS akan mengumumkan senarai calon untuk bertanding di 100 kerusi parlimen di seluruh negara sempena program itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Husain berkata, semua pemimpin parti politik termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih belum mengetahui tarikh parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU14 diadakan.

Bagaimanapun, katanya, PAS sudah bersiap sedia termasuk melantik petugas jentera pilihan raya di peringkat pusat, negeri dan cawangan di seluruh negara.

"Jentera pilihan raya PAS sudah berkerja dan melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk menemui pengundi di seluruh negara selepas PRU lalu diadakan," katanya.

Ketika mengulas jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri yang akan ditandingi pada PRU akan datang, Husain berkata, PAS akan meletakkan calon untuk bertanding di 32 kerusi DUN negeri, walaupun akan berhadapan pertandingan tiga penjuru.

Berita Harian X