Jumaat, 8 September 2017 | 7:04pm
KETUA UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto Rozainah Zakaria
KETUA UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto Rozainah Zakaria

'Jangan ungkit lagi'

CHUKAI: Datuk Seri Ahmad Said, berkata beliau mahu melupakan semua sejarah silam dalam kerjaya politiknya dan menyeru semua pihak tidak mengungkit cerita lama.

Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu, berkata beliau juga tidak menyimpan dendam kepada sesiapa dan berikrar terus setia dengan UMNO, walaupun mengakui didatangi pelbagai tawaran menarik daripada pembangkang yang mahu memancing sokongannya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, yang lebih penting sekarang ialah persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang disifatkan sebagai penentu hidup mati UMNO.

"Kita bakal menghadapi PRU pada bila-bila masa. Adakah kita bersedia? Bagi saya PRU ini paling hebat, antara hidup mati UMNO.

"Kalau kita berjaya pada PRU akan datang ini, UMNO akan bertahan lagi 50 tahun.

"Justeru itu kita tiada pilihan. Saya minta kita berganding bahu lupakan sejarah lalu. Bina hidup baru. Jangan ungkit cerita lalu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Turut hadir Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman dan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ahmad berkata, beliau menghormati rakan seperjuangannya dan enggan lagi menyebut perkara yang sudah berlaku.

"Kita ini ibarat suami isteri, sedangkan lidah lagi tergigit.

"Kita harapkan kekuatan dalaman dan sokongan penuh seluruh ahli parti untuk bersaing dalam PRU nanti," katanya.

Katanya, sekiranya UMNO tewas di Terengganu, negeri ini akan kehilangan segala kelebihan yang diusahakan oleh pemimpin UMNO.

Berita Harian X