Jumaat, 25 Ogos 2017 | 3:48pm
NAIB Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) memasukkan wang sumbangannya untuk pembinaan bangunan UMNO Kuala Nerus selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus hari ini. - Foto BERNAMA
NAIB Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) memasukkan wang sumbangannya untuk pembinaan bangunan UMNO Kuala Nerus selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus hari ini. - Foto BERNAMA

Jangan terlalu yakin akan jadi calon - TPM

KUALA NERUS: Senarai calon yang sudah dikemukakan UMNO negeri kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, bukan calon muktamad untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pucuk pimpinan parti akan memastikan calon yang diangkat untuk mewakili parti pada PRU-14 adalah calon disukai rakyat dan mempunyai kemampuan untuk menang.

"Semua UMNO negeri sudah hantar senarai calon kepada Presiden parti yang juga Perdana Menteri, tetapi senarai itu bukan senarai yang dimuktamadkan.

"Tidak perlu lobi untuk jadi calon kerana kita akan terus melakukan pemantauan dan penilaian terhadap calon berkenaan atau nama lain yang tidak dikemukakan bagi dibuat kajian terhadap kemampuan mereka dalam memenangi kerusi pada PRU-14.

"Kita tidak akan ikut calon yang dipilih kepemimpinan atas parti negeri, tetapi akan pilih calon yang disukai rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus, di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, seluruh pemimpin dan ahli UMNO perlu dipasakkan dengan mentaliti kemenangan (winning mentality) bagi menangkis faktor pengaruh luar yang boleh menjejaskan keutuhan dan kemampuan parti untuk memenangi PRU-14.

Beliau berkata, mentaliti kemenangan itu penting dalam memastikan parti mampu menempuhi PRU-14, yang disifatkan peperangan besar atau 'mother of all battles'.

"Faktor luaran menyebabkan ramai pemimpin dan ahli parti tidak yakin dengan kemampuan kita untuk terus bertahan sebagai kerajaan pemerintah pada penggal akan datang.

"Justeru, mentaliti kemenangan ini harus ditanamkan di setiap peringkat akar umbi yang sebahagiannya lemah dan berasakan parti akan kecundang berikutan lontaran pelbagai isu daripada pihak yang mahu meranapkan UMNO dan kerajaan.

"PRU kali ini adalah 'mother of all battles'. Kita harus mempunyai pasakan semangat kemenangan pada diri dan harus yakin bahawa untuk mencapai kemenangan kita harus berusaha terlebih dahalu dan kemudian bertawakal kepada Allah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO adalah parti politik yang diibaratkan sebagai pelari maraton yang mempunyai rekod baik sejak 60 tahun lalu dan perlu memiliki stamina untuk memenangi perlumbaan serta mengekalkan kejayaan dalam PRU-14.

Beliau turut menasihatkan setiap pemimpin parti untuk sentiasa bekerjasama dan tidak sesekali melupakan pemimpin lama, sekali gus menggunakan pengalaman mereka untuk mendekati pengundi.

Berita Harian X