Sabtu, 19 Ogos 2017 | 12:45pm
NAJIB memukul gong gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Padang Matsirat. - Foto Amran Hamid
NAJIB memukul gong gimik perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Padang Matsirat. - Foto Amran Hamid

'Mereka tak sayangkan bangsa' - Najib

LANGKAWI: Perbuatan bekas pemimpin yang mengutuk, menjahanam dan menyerang parti yang pernah berjasa kepada diri mereka, jelas bertentangan konsep kepemimpinan dan membuktikan mereka tidak sayangkan bangsa.

Tanpa menamakan mana-mana bekas pemimpin, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata tindakan sedemikian juga jelas bertentangan dengan konsep kepemimpinan.

"Hidup kita ibarat roda, hari ini kita di atas dan satu masa nanti, kita akan turun. Apabila kita turun, kita kena sokong pula orang lain, baharulah perjuangan kita kesampaian dan kepemimpinan kita dapat barakah sebab orang akan nilai jasa dan legasi kita.

"Sebaliknya, kalau dulu cakap lain, sekarang cakap lain...dulu kawan, sekarang dah jadi lawan...dulu yang lawan, sekarang jadi kawan, ini bukan prinsip moraliti dalam politik. Ini marah, kecewa dan sudah lupa asas serta nilai perjuangan.

"Sebab itu, kita tak ada sentimen terhadap orang yang sudah lupa sebegini," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi, hari ini.

Najib pada masa sama menegaskan, dalam UMNO keutamaan parti adalah lebih penting, termasuk berbanding diri beliau sebagai Presiden, maka ia harus terus dipertahankan.

"Kita kena pertahan UMNO sebab selagi ada parti, selagi itulah perjuangan boleh diteruskan. Ibarat kapal besar, jangan ditebuk, kalau tebuk dan karam, nak belayar macam mana? Nak ke Pulau Tuba pun tak sampai.

"Kalau kapal yang selama ini dibina kita tebuk, orang lain nak harapkan kapal itu untuk belayar ke pulau idaman tak kesampaian.

"Jadi sayanglah masa depan negara, sayangkan anak-anak kita yang masih kecil di bangku sekolah, sayangkan juga generasi TN50 (Transformasi Nasional 2050) yang harapkan negara masih hebat.

"Bayangkan apa akan jadi kepada mereka kalau tak ada BN (Barisan Nasional) dan UMNO," katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri menegaskan, kerajaan diterajui UMNO dan BN akan terus membangunkan Langkawi.

Beliau berkata, segala yang dicapai pulau pelancongan itu hari ini, adalah hasil kesinambungan barisan pemerintah negara.

"Bila Tunku (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj) jadi Perdana Menteri, Tun Razak (Tun Abdul Razak) pula sambung (ambil alih) sebagai Perdana Menteri dan tambah nilai.

"Bila Tun Razak tak ada, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Tun Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan bila sampai giliran saya, saya juga teruskan perjuangan serta melakukan tambah nilai dan transformasi.

"Berdasarkan idealisme, sesuatu cita-cita murni tak boleh selesai dalam masa singkat dan Langkawi bukan wujud sebegini dalam masa sehari.

"Kita perlu masa dan jangka hayat kepemimpinan sebab itulah negara kita berjaya dan jadi negara model," katanya.

Mengenai pembangunan Langkawi, Najib berkata, status bebas cukai akan dipertahankan selagi BN memerintah dan pelbagai usaha juga digerakkan untuk terus memajukan pulau pelancongan itu.

"Airport (lapangan terbang) Langkawi kita nak perbesar dengan RM89 juta diperuntukkan, Pulau Tuba kita bagi bekalan elektrik dengan kabel dasar laut, jeti (kuah) kita dah baik pulih dan banyak lagi.

"Hari ini sahaja, saya akan lancar penerbangan terus Shenzen-Langkawi untuk tarik lebih ramai pelancong Cina ke sini. Pulau digital pertama di Langkawi juga hebat dan saya juga akan lancar 1,000 unit perumahan rakyat, khusus untuk rakyat Langkawi," katanya.

Berita Harian X