Sabtu, 29 Julai 2017 | 8:48pm
KETUA Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman
KETUA Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bergambar bersama orang ramai pada majlis perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman

PPBM, PKR, PAN pak turut DAP - Shahrizat

LANGKAWI: Tiga parti ditunjangi Melayu dalam pakatan pembangkang hanya menjadi 'pak turut' kepada DAP yang terbukti mempunyai kuasa mutlak dalam gabungan itu.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata atas sebab itu gembar-gembur mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanyalah khayalan semata-mata.

Justeru, beliau berkata rakyat Malaysia harus faham permainan politik yang sedang dipentaskan oleh pakatan pembangkang yang bertujuan hanya mahu memancing undi dalam PRU-14 akan datang.

"Kita percaya Lim Kit Siang (Ketua Ahli Parlimen DAP) yang akan membuat keputusan akhir berkaitan calon Perdana Menteri, manakala parti lain dalam pakatan pembangkang hanya akan menjadi pak turut kerana DAP yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak dalam gabungan itu.

"Kenyataan bahawa Tun Mahathir menjadi calon Perdana Menteri hanyalah khayalan dan kisah dongeng semata-mata kerana Kit Siang sebenarnya yang mahukan jawatan itu, malah amat jelas dalam setiap keputusan yang diambil oleh pakatan pembangkang, ia dimuktamadkan oleh Kit Siang dan DAP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC)  di sini, sebentar tadi.

Shahrizat juga hairan pemimpin pakatan pembangkang lain daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara, tidak pernah menyatakan satu nama yang sama-sama mereka persetujui untuk jawatan itu.

Berita Harian X