Sabtu, 29 Julai 2017 | 5:38pm
AHLI Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berucap di majlis Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Marang di Dewan Majlis Daerah Marang. - Foto Imran Makhzan
AHLI Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berucap di majlis Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Marang di Dewan Majlis Daerah Marang. - Foto Imran Makhzan

'Tun M tak masuk pun takpa dah'

MARANG: "Jika dia (Tun Dr Mahathir Mohammad) tak masuk (UMNO) pun takpa dah. Dalam masa dua tahun ini terlalu teruk dia menyerang UMNO walaupun pernah menjadi presiden," kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan terbaharu yang dibuat bekas perdana menteri itu apabila dengan jelas mengatakan tidak akan kembali bersama UMNO sama sekali apabila mendakwa parti itu sudah rosak teruk.

Mahdzir berkata, dengan serangan demi serangan yang dilakukan sejak meninggalkan parti itu, keputusan Tun Mahathir untuk tidak kembali bersama UMNO dianggap elok.

"Walaupun beliau pernah menduduki kerusi sebagai Presiden UMNO dan orang kuat dalam parti namun cara beliau menghentam parti dalam masa dua tahun ini, kita tidak rasa kesal jika beliau enggan kembali bersama," katanya ketika ditemui selepas Merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Marang, di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak akan kembali kepada UMNO walaupun pernah menerajuinya selama 22 tahun sebagai presiden kerana mendakwa parti terbabit sudah rosak teruk disebabkan Datuk Seri Najib Razak.

Mahdzir, ketika berucap kepada Perwakilan Wanita UMNO Marang, turut berkongsi pengalamannya ketika mendengar ucapan Dr Mahathir kepada pimpinan penuntut universiti satu masa dahulu yang mengingatkan mereka jangan sesekali bersekongkol dengan Lim Kit Siang dan parti DAP kerana kedua-duanya adalah rasis dan anti-Islam.

"Satu dunia tahu pada tahun 1982 ketika menjadi pemimpin pelajar di universiti dan ketika itu, Dr Mahathir adalah perdana menteri.

"Beliau kata 'kamu pemimpin pelajar buatlah kerja supaya satu hari nanti boleh jadi pemimpin namun saya ingatkan kamu jangan sesekali bersekongkol dengan Lim Kit Siang dan DAP kerana Lim Kit Siang dan DAP adalah rasis, anti-Islam dan anti-Melayu'.

"Bagaimanapun, selepas 35 tahun, beliau sendiri 'cium mulut' dengan Lim Kit Siang. Hari ini DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir bersama untuk jatuhkan UMNO namun PAS mengambil keputusan untuk tidak bersama mereka," katanya.

Berita Harian X