Khamis, 27 Julai 2017 | 5:32pm

'Tak mungkin Anwar, Kit Siang benarkan Dr M jadi PM'

PUTRAJAYA: Dipenjara, dimalukan adalah dosa Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kiat Siang ketika menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

Sehubungan itu, tidak mungkin Ketua Umum PKR dan Ketua Parlimen DAP itu membenarkan Dr Mahathir memegang jawatan perdana menteri walaupun hanya '24 jam' sahaja.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebenarnya dua tokoh pembangkang itu mempergunakan Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyerang UMNO.

"Dosa Dr Mahathir kepada dua tokoh pembangkang ini terlalu besar dan saya tidak fikir mereka (Anwar dan Kit Siang) boleh memaafkan begitu sahaja.

"Beliau (Dr Mahathir) banyak membuat tuduhan terhadap mereka dan keluarga.

"Sebelum ini, Kit Siang dan anaknya, (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng pernah menjadi tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Anwar pula menghadapi pelbagai tuduhan mengenai keburukan moral sehingga keluarganya dimalukan, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT), di sini hari ini.

ISMAIL Sabri bergambar bersama pelatih yang menerima sijil selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT), di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
ISMAIL Sabri bergambar bersama pelatih yang menerima sijil selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT), di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Ismail Sabri, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata gabungan pembangkang memperalatkan Dr Mahathir kerana sebelum ini beliau mempunyai masalah peribadi dengan UMNO berhubung kedudukan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang tidak dapat menjadi Naib Presiden ketika pemilihan parti pada 2014.

"Justeru, DAP mengambil ruang dan peluang ini untuk menggunakan Dr Mahathir bagi menyerang UMNO, malah ketika ini kita boleh lihat perpecahan paling besar berlaku di kalangan parti Melayu di mana ada lima parti Melayu dan saya percaya DAP gembira dengan perkara ini," katanya.

Berita Harian X