X
Jumaat, 21 Julai 2017 | 7:31pm
BENDAHARI UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak. - Foto Mohd Azren Jamaludin
BENDAHARI UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Parti baharu muncul kerana Dr Mahathir

KOTA TINGGI: Tun Dr Mahathir Mohamed adalah contoh ketua yang akan menyingkirkan mana-mana pemimpin yang disifatkan tidak sebulu dan sefahaman dengannya.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata akibat daripada krisis atau penyingkiran pemimpin yang dilakukan Dr Mahathir maka muncul parti baharu untuk menentang UMNO dan kepimpinan beliau seperti Parti Semangat 46 serta PKR.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kini Dr Mahathir memimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai parti pembangkang untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak serta UMNO selaku parti yang mentransformasikan serta menentukan hala tuju Melayu ke arah masa depan lebih cemerlang.

"Pada dia (Dr Mahathir) kalau tidak setuju dengan pandangan dan pendapat dia, orang itu harus dijatuhkan kerana dia fikir hanya pandangan peribadinya semata-mata.

"Dia (Dr Mahathir) tidak melihat bahawa kita tidak akan menjadi diri (sendiri) selamanya tetapi kalau (diteruskan) parti hancur macam mana," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang ke-14, di Bandar Penawar di sini.

Yang hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Ketua UMNO Bahagian Pengerang.

Salleh berkata, ahli UMNO perlu jelas terhadap perjuangan parti.

Katanya, kekeliruan terhadap matlamat perjuangan sebenar parti hanya akan menjadikan ahli UMNO terus terpedaya dengan dakyah serta tohmahan pihak lain termasuk pembangkang yang terus menyerang kepimpinan parti.

"Dalam politik kita tidak boleh keliru (dengan perjuangan parti), nanti kita akan jadi atas pagar. Kita perlu jelas dalam perjuangan.

"Apa yang Najib (Presiden UMNO) lakukan bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk kebaikan parti.

"Tohmahan pihak tertentu tidak dapat jejaskan parti kerana masih ramai ahli berdiri rapat bersama perjuangan parti," katanya.

Berita Harian X