Rabu, 5 Julai 2017 | 6:42pm
DATUK Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.- Foto NSTP/ Asyraf Hamzah
DATUK Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.- Foto NSTP/ Asyraf Hamzah

Kit Siang hanya berdrama mahu bersara politik

KETUA Parlimen DAP, Lim Kit Siang.- Foto NSTP
KETUA Parlimen DAP, Lim Kit Siang.- Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, hanya berdrama apabila berulang kali mengatakan mahu bersara daripada politik dan sanggup mengorbankan dirinya bagi menyelamatkan parti itu setiap kali gagal mengekalkan kuasanya sebagai pemimpin dalam parti itu.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, berkata ramai orang sudah tidak percaya dengan lakonan Kit Siang kerana sudah banyak kali mendengarnya sebelum ini.

Katanya, tawaran Kit Siang mahu bersara sebenarnya hanyalah satu cubaan terdesak bagi meraih simpati orang ramai.

"Diktator tidak bersara, sebaliknya mereka menyebabkan orang lain yang bersara dan bukannya diri mereka. Mereka hanya menawarkan diri untuk bersara ketika perlu mengalih perhatian daripada kegagalan mereka sendiri.

"Jelas sekali Kit Siang tiada keinginan mahu menyerahkan pucuk kepemimpinan parti kepada Naib Pengerusinya, Tan Seng Giaw," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Sariffuddin berkata, ketika ini situasi yang serius melanda DAP ialah mengenai kedudukan pengesahan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dan Setiausaha Agung, 'Penang Official No 1', yang mana kedua-duanya tidak diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Tiada sesiapa membicarakan mengenai usaha mahu membatalkan pendaftaran DAP kecuali Kit Siang dan anak buahnya.

"Mungkin Kit Siang mengharapkan pembatalan pendaftaran itu supaya beliau boleh menyingkirkan ahli parti dan separuh daripada delegasi CEC yang diketahui di dalam DAP menentang dinasti Lim dan kediktatorannya.

"Justeru saya menasihatkan Kit Siang supaya menahan diri daripada bercakap mengenai pembatalan pendaftaran DAP dan berhenti menyalahkan UMNO serta Barisan Nasional di atas segala masalah dalaman parti itu yang disebabkan oleh beliau sendiri.

"Sudah tiba masanya untuk Kit Siang bersara daripada kediktatorannya yang sudah menjangkau separuh abad," katanya.

Tengku Sariffuddin berkata, rakyat Malaysia juga perlu tahu bencana yang akan dihadapi negara sekiranya pakatan pembangkang diterajui DAP berjaya mendapat kuasa untuk memerintah negara.

"Pakatan pembangkang diterajui oleh seorang lelaki yang gilakan kuasa dan meletakkan dinastinya lebih daripada demokrasi dan kebajikan rakyat," katanya.

Berita Harian X