Sabtu, 1 Julai 2017 | 2:47pm

Sokong semua senarai nama calon wanita dari Sabah

AZIZAH bermesra bersama tetamu yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Jalinan Kasih Aidilfitri di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun, Beaufort. - Foto Mohd Nazllie Zainul
AZIZAH bermesra bersama tetamu yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Jalinan Kasih Aidilfitri di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun, Beaufort. - Foto Mohd Nazllie Zainul

BEAUFORT: Wanita UMNO berharap 20 senarai nama calon wanita Barisan Nasional (BN) dari Sabah yang diserahkan kepada pucuk kepemimpinan BN dapat diberi pertimbangan sewajarnya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata senarai nama itu yang diumumkan Pengerusi Wanita BN Sabah, Datuk Armani Mahiruddin, baru-baru ini disokong semua pemimpin wanita di negeri ini, termasuk beliau sendiri.

Katanya, senarai itu yang merangkumi calon wanita untuk Parlimen dan negeri merangkumi muka lama dan baharu, diyakini mampu membawa kemenangan kepada BN jika dipilih menjadi calon pada PRU-14.

"Harapan kita pastinya untuk meraih kemenangan dalam PRU-14. Semua calon ini berada di kawasan yang disasarkan mampu menang dengan mudah.

"Saya berharap semua calon ini ada tempat, tidak kira sama ada mereka pemimpin wanita sedia ada atau calon baharu," katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Jalinan Kasih Aidilfitri beliau, di sini, hari ini.

Kira-kira lebih 6,000 pengunjung terdiri daripada penduduk sekitar daerah ini hadir memeriahkan majlis itu yang diadakan di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun.

Berita Harian X