Sabtu, 21 Januari 2017 | 11:15am

DAP keliru Dr M anugerah atau bencana

BEKAS Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah
BEKAS Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: DAP disifatkan berada di persimpangan susulan pelbagai kenyataan dangkal dan pusingan 'U' dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang asalnya dianggap sebagai 'kuda' politik pakatan pembangkang.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, menjangkakan Dr Mahathir yang ketika ini dibayangi pelbagai kekeliruan dan terdesak menjadikan anaknya sebagai Perdana Menteri akan melakukan beberapa percaturan tidak matang.

Katanya, Dr Mahathir akan tersungkur dengan mengeluarkan kenyataan bercanggah dan pusingan 'U' berkaitan pelbagai isu, termasuk krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dr Mahathir hidup bersandarkan krisis yang beliau sendiri cetuskan, justeru pelbagai situasi, pergolakan dan gosip akan ditimbulkan pada masa depan supaya kerjaya politiknya kekal subur.

"Jika saya masih dalam DAP, sudah tentu timbul kewajaran untuk mempersoalkan kehadiran Dr Mahathir, yang sebelum ini diangkat sebagai anugerah Tuhan.

"Berdasarkan pelbagai kekecohan melanda, saya rasa DAP boleh menyingkirkan Dr Mahathir sebelum beliau membawa pelbagai tragedi kepada pakatan pembangkang," katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Beliau berkata, Dr Mahathir tidak akan 'tutup mata' selagi impiannya menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri dan meranapkan institusi kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, tidak tercapai.

Dendam kesumat itu, katanya, akan menjadi duri dalam daging kepada pakatan pembangkang, selain mengakibatkan DAP dibelenggu igauan ngeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

Katanya, pusingan 'U' dilakukan Dr Mahathir itu juga mengesahkan bahawa DAP selama ini memang mengintai peluang menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri sebagai habuan kerana menyokong Mukhriz menjadi Perdana Menteri.

"Terima kasih kepada Dr Mahathir yang membongkarkan agenda sebenar pakatan pembangkang dan mainan politik DAP," katanya.

Berita Harian X