Ahad, 18 Disember 2016 | 5:34pm

Kenyataan Kit Siang hanya jenaka politik

Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - Foto Rosdan Wahid
Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - Foto Rosdan Wahid

ALOR SETAR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang dianggap berjenaka apabila mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan diberi peluang mentadbir negara melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kit Siang yang mencadangkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Perdana Menteri interim Pakatan Harapan, sementara menunggu Anwar mengambil alih kedudukan itu.

"Saya kira ia suatu jenaka dan melucukan apabila kenyataan itu datang daripada seorang yang berpengalaman luas berstatus senior seperti Kit Siang, ...jadi saya tak mahu ulas pasal pengampunan Anwar sebab banyak komen dalam media sosial tentang itu.

"Saya kira Kit Siang sendiri tahu ada banyak peringkat (kalau mereka nak tunggu Anwar jadi Perdana Menteri), ...ada pembebasan dan pengampunan, selepas itu dia (Anwar) nak kena bertanding di Parlimen dan banyak lagi, ...jadi saya kira dia berjenaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pelajar Program Puncak yang dikelolakan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di TH Hotel & Covention Centre di sini, hari ini.

Mahdzir pada masa sama mengakui tidak hairan dengan cadangan dikemukakan Kit Siang kerana ia sememangnya berlaku apabila berlaku perkongsian tanpa hala tuju yang sama.

"Saya pernah cakap mengenai Rafizi (Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli) dan Azmin (Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang cadangkan nama Anwar sebagai Perdana Menteri. Sekarang Kit Siang pula beritahu nama Wan Azizah dan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pula mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya tak terkejut kalau selepas ini ada orang cadang nama Kit Siang pula.

"Saya yakin pembangkang buat itu semua hanya sebagai helah iaitu untuk tunjuk kepada masyarakat mereka dalam keadaan boleh memimpin," katanya.

Berita Harian X