Jumaat, 2 Disember 2016 | 11:26am

DAP cuba kaburi rakyat - EXCO Pemuda UMNO

EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

KUALA LUMPUR: DAP cuba mengaburi mata rakyat apabila mendakwa ia parti untuk semua kaum walaupun fakta kukuh menunjukkan sebaliknya, terutama barisan kepemimpinan dan ahlinya yang didominasi hanya satu bangsa.

EXCO Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, berkata DAP adalah parti majmuk hanya pada nama dengan majoriti besar ahlinya terdiri daripada kaum Cina, tetapi meletak dan mempromosi dua atau tiga muka Melayu sekadar langkah 'perhubungan awam' yang hipokrit dan tidak mengubah fakta bahawa DAP kekal parti satu kaum.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh, kononnya semua kaum di Malaysia akan menderita sekiranya terus mengundi Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, menunjukkan pimpinan DAP sudah berasa tergugat.

"Kah Woh memberi reaksi terhadap kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2016, Rabu lalu.

"Naib Ketua Pemuda UMNO mengajak pengundi Cina kembali menyokong BN pada PRU akan datang kerana ia menjamin masa depan terbaik untuk kaum Tionghua," katanya dalam satu kenyataan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, hari ini.

Shahril memberi contoh, dasar DAP terhadap orang Melayu seperti tindakan merobohkan gerai di Teluk Bahang, Pulau Pinang di mana peniaga Melayu mencari rezeki selama 20 tahun tanpa sebarang gangguan, membuktikan DAP masih terperangkap dalam pemikiran berlandaskan perkauman dan cauvinisme.

"Sebuah perkampungan Melayu tertua di Pulau Pinang iaitu Kampung Tanjung Tokong yang sekarang dikelilingi pembangunan perumahan mewah, juga terancam.

"Tak mustahil penduduk Melayu Kampung Tanjung Tokong akan diusir keluar seperti penduduk Melayu di Kampung Mutiara pada 2015. Ini hanya beberapa contoh bagaimana DAP mengamalkan diskriminasi perkauman sistematik terhadap orang Melayu di Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan Pulau Pinang mengesahkan kenyataan Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2016 semalam, bahawa DAP menentang Islam sebagai agama Persekutuan, institusi raja-raja Melayu dan juga kedudukan istimewa Melayu serta Bumiputera yang dijamin Perlembagaan.

Katanya, dakwaan Kah Woh bahawa khazanah negara diseleweng melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sejumlah aset bernilai AS$1 bilion dirampas oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat di bawah siasatan sivil baru-baru ini mampu membiayai perbelanjaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), juga tidak masuk akal sama sekali.

"Aset AS$1 bilion itu bukan daripada dana awam Malaysia. Sekiranya aset tidak pernah dibeli atau dimiliki oleh mana-mana entiti atau individu terbabit dalam tuntutan sivil itu, maka tidak akan wujud pun AS$1 bilion untuk dibelanjakan kerajaan.

"Mengapa dia mengambil contoh biasiswa JPA? Tidak lain ia cubaan murah untuk menambat hati Melayu, dari seseorang yang barangkali tidak pun mengenali ramai orang Melayu," katanya.

Shahril berkata, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung pergerakan itu juga bertegas bahawa DAP adalah parti dominan dalam Pakatan Harapan yang akan meluaskan dasar diskriminasi terhadap orang Melayu seperti disaksikan di Pulau Pinang.

"Parti yang sebenar-benarnya menjuarai hak seluruh kaum di Malaysia adalah BN yang ditunjangi, bukan DAP yang membelanjakan sejumlah besar wang untuk mengiklan dan menjenamakan imej palsu.

"Ubah bagaimana parti anda (DAP) melayan orang Melayu sebelum mahu mengajar UMNO bagaimana untuk mentadbir negara berbilang kaum. Kami lebih tahu resipinya," katanya.

Berita Harian X