Khamis, 1 Disember 2016 | 6:29pm

Wakil Terengganu sifatkan parti pembangkang 'stor buangan'

WAKIL UMNO Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi. - Foto Aizuddin Saad
WAKIL UMNO Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Wakil UMNO Terengganu menyifatkan sebahagian parti pembangkang sebagai 'stor buangan' kerana mengambil ramai pemimpin yang sudah tidak lagi dikehendaki dan ditolak UMNO.

Jurucakapnya, yang juga Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi, berkata gabungan parti pembangkang diterajui DAP itu juga bukanlah parti masa depan, kerana biarpun nampak bersama, tetapi hakikatnya mereka berpecah.

"Hari ini pembangkang berpecah, mereka kutip pemimpin yang UMNO dah 'reject' (buang), pembangkang adalah 'reject store' (stor buangan). Sehingga mahu mencari alternatif siapa Perdana Menteri pun mereka tidak mampu," katanya.

Beliau berkata demikian berucap membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Kuala Terengganu itu juga memuji kejutan dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak serta pimpinannya dengan memecat individu yang bertindak sebagai gunting dalam lipatan.

"Pemimpin yang hebat seperti Presiden mesti ada ciri kejutan, pecat gunting dalam lipatan yang ada dalam UMNO, pecat duri dalam daging. Dan terbukti pada masa ini, UMNO tidak lemah dan kukuh bersama Presiden.

"Inilah masa yang terbaik untuk adakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kita semua sudah bersedia untuk perang," katanya sambil menambah bahawa kekalutan ekonomi ketika ini diyakini tidak akan memburukkan politik Malaysia.

Dalam pada itu, Sabri berkata, hakikatnya politik kini memerlukan pemimpin untuk mengawal dan menguasai persepsi, kerana ia akan menjadi penentu sama ada pemimpin itu hebat atau sebaliknya.

Berita Harian X