Khamis, 1 Disember 2016 | 3:11pm

Generasi muda galas mandat TN50

KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengetuai masuk perbarisan Pemuda UMNO pada upacara perbarisan Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengetuai masuk perbarisan Pemuda UMNO pada upacara perbarisan Perhimpunan Agung UMNO 2016 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, mandat mengibarkan panji perjuangan UMNO dan pelaksanaan Dasar Transformasi Nasional (TN50) tergalas di bahu generasi muda parti selaku pewaris bangsa.

Presiden UMNO berkata, TN50 adalah jaminan dan acuan bakal membentuk negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda kelas pertama.

Secara terbuka, beliau meletakkan mandat itu di bahu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, selaku menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga belia.

"Khairy, inilah mandat parti yang kami berikan kepada saudara selaku Ketua Pemuda dan pasukan saudara, maka bertindaklah seperti Panglima Perang Muda Tariq bin Ziad dalam terus mengibarkan panji-panji perjuangan UMNO, bangsa dan agama.

"Anakanda Khairy, berdiri dan serulah rakan-rakan saudara, barisan pemuda UMNO pewaris bangsa, sejumlah lebih 600,000 ahli di seluruh negara sama ada dalam dewan ini atau di luar untuk bangun dan bangkit, andalah masa depan UMNO, dalam Bahasa Arabnya JIL UMNO atau Generasi Pewaris kepimpinan parti dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden bertemakan `UMNO Penggerak Transformasi Nasional' di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menyentuh kesetiaan barisan Pergerakan Puteri UMNO, Najib membangkitkan kisah Ketua Puteri Semporna, Zakiah Kalipunya yang tetap setia, teguh dan tidak keluar parti ketika bahagian itu berdepan krisis kepemimpinan susulan pemecatan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dari parti.

"Begitu juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh, Rohaiza Ahmad dan pasukannya. Inilah contoh walak dan kesetiaan sejati yang kita harapkan. Berikan tepukan paling gemuruh kepada Puteri UMNO Bahagian Semporna dan Pagoh serta seluruh Puteri UMNO," katanya.

Berita Harian X