Isnin, 21 November 2016 | 8:29pm

Dr Mahathir cuba perangkap kerajaan - Veteran UMNO

SETIAUSAHA Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub
SETIAUSAHA Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa sengaja muncul pada perhimpunan Bersih 5, Sabtu lalu untuk memerangkap kerajaan supaya polis menahannya.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata bekas Perdana Menteri itu mencari jalan supaya beliau ditahan untuk mendapatkan simpati orang ramai.

Katanya, Dr Mahathir cuba memerangkap kerajaan supaya rakyat marah kerana sedar masih ramai yang menyokongnya dengan menggunakan sentimen sebagai bekas Perdana Menteri dan orang tua.

"Beliau mengharapkan penahanan oleh polis akan membangkit kemarahan orang ramai dan mengharapkan rakyat tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Beliau mengharapkan dengan penahanan itu, media asing akan memberi liputan meluas, sekali gus akan memburukkan nama (Datuk Seri) Najib (Razak) sebagai Perdana Menteri," katanya kepada BH, hari ini.

Mustapha berkata, adalah jelas Dr Mahathir sengaja membuka ruang untuk ditahan supaya dunia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang anti Malaysia memberi tekanan kepada Najib supaya berundur.

Sementara itu, bekas pemimpin Reformasi, Datuk Zulkifli Nordin, berkata pembangkang menggunakan Dr Mahathir kerana sudah ketandusan kepimpinan dan sengaja mempergunakan bekas pemimpin UMNO itu untuk melaksanakan agenda mereka.

"Pemimpin serpihan kepemimpinan UMNO sentiasa dipergunakan untuk melaksanakan agenda pembangkang.

"Dr Mahathir sendiri sepatutnya menyedari bahawa cubaan menjatuhkan kerajaan melalui politik jalanan adalah satu perkara yang beliau sendiri bantah ketika menjadi Perdana Menteri.

"Jelas sekali pembabitan Dr Mahathir bercanggah dengan pendirian dan prinsipnya sebelum ini. Saya sarankan supaya beliau menggunakan sepenuhnya sistem demokrasi melalui PRU-14 akan datang untuk melaksanakan apa juga agenda yang diimpikannya," katanya.

Berita Harian X