Rabu, 16 November 2016 | 9:31pm

Wan Azizah alih tumpuan rakyat kes Rafizi

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, menggesa Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dikelaskan semula sebagai dokumen bukan rahsia rasmi, bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Wan Azizah mengutarakan semula isu itu untuk mengalih perhatian rakyat mengenai hukuman dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kerana mendedahkan dokumen rahsia rasmi.

"Kenyataan Ketua Pembangkang jelas menunjukkan beliau tidak faham peruntukkan undang-undang, termasuklah status penubuhan 1MDB yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965, bukannya satu badan awam," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Rafizi dijatuhi hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah atas dua tuduhan memiliki dan mendedahkan satu halaman muka surat 98 Laporan Pengauditan 1MDB.

Azalina berkata, PAC sebagai jawatankuasa bersifat bipartisan, mengemukakan permintaan kepada Jabatan Ketua Audit Negara (JAN) dan Perdana Menteri, sebelum mengarahkan Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB.

Beliau berkata, laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dibincangkan PAC sebelum memuktamadkan laporan dan dibentangkan di Parlimen pada 7 April lalu.

"Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC mempunyai akses sepenuhnya kepada Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan PAC. Tiada keperluan untuk 1MDB dikelaskan semula sebagai dokumen bukan rahsia rasmi.

"Keadaan ini sama seperti meminta kertas siasatan dijadikan sebagai dokumen bukan rahsia rasmi setelah pendakwaan dan hukuman dikenakan," katanya.

Azalina menyifatkan kenyataan Wan Azizah sebagai mempersoalkan kredibiliti PAC, termasuk Ahli Parlimen pembangkang yang menganggotainya.

Berita Harian X