Ahad, 30 Oktober 2016 | 3:11pm

Bocor rahsia kerajaan kerana dendam - Mustapha

SETIAUSAHA Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.
SETIAUSAHA Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

KUALA LUMPUR: Tindakan tiga bekas menteri yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan kepada umum, dipercayai bermotifkan dendam selain mempunyai kepentingan politik bagi memenangkan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata ketiga-tiga pemimpin itu sanggup melanggar sumpah kerahsiaan kerana berharap dakwaan dibuat akan membantu parti masing-masing meraih sokongan pengundi pada PRU akan datang.

"Disebabkan kemarahan, dendam dan kepentingan peribadi, mereka lupa status bekas menteri yang masih terikat dengan rahsia kerajaan.

"Tindakan mereka bukan atas dasar tanggungjawab menjelaskan isu kepada rakyat, sebaliknya mahu melihat kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tumbang," katanya kepada BH, hari ini.

BH hari ini melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan dan akan mengambil keterangan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dua bekas anggota Kabinet mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana didakwa mendedahkan rahsia kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata keterangan bekas Timbalan Perdana Menteri itu bersama bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, akan diambil dalam tempoh terdekat.

Pada sesi di Dewan Rakyat baru-baru ini, Muhyiddin, Mohd Shafie dan Husni mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan terutama mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017.

Mustapha berkata, tanpa tindakan segera daripada pihak berkuasa, tidak mustahil ketiga-tiga pemimpin itu akan menggunakan platform terbuka lain untuk menyebarkan dakwaan sama kepada rakyat.

Berita Harian X