Sabtu, 15 Oktober 2016 | 4:13pm

UMNO perlu kukuhkan gerak kerja - Hishammuddin

Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Duyong Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias
Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus di Duyong Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: Kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak memandang remeh kemunculan parti baharu termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kemunculan PPBM kurang mendapat sambutan tetapi kepemimpinan parti perlu mengukuhkan gerak kerja bagi memastikan BN terus diberi mandat memerintah negara.

Walaupun sejarah membuktikan parti ditubuhkan bersandarkan kebencian dan dendam serta ingin menjatuhkan kerajaan tidak mampu bertahan, katanya, pimpinan UMNO dan BN di semua peringkat tidak boleh leka.

"Jangan tunggu hingga malapetaka tiba baru nak bangkit. Pengalaman kejatuhan Terengganu di tangan PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 harus dijadikan sandaran kepada semua kepemimpinan UMNO dan BN.

"Kepemimpinan parti pembangkang kini mengikut jejak langkah wadah perjuangan UMNO serta BN manakala kecelaruan mereka tidak bermakna kedudukan parti semakin kuat, sebaliknya semua pemimpin perlu terus mendekati rakyat," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Pulau Duyong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad; dan Ketua UMNO Bahagian Marang, A Latiif Awang.

Berita Harian X