Isnin, 3 Oktober 2016 | 4:11pm

UMNO lebih selamat tanpa parasit - Veteran UMNO

Setiausaha Persatuan Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub
Setiausaha Persatuan Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO menganggap UMNO akan menjadi lebih selamat dengan keluarnya golongan parasit yang menjadi 'duri dalam daging' dalam parti.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata UMNO tidak akan rugi dengan tindakan Ezam Mohd Noor yang membuat keputusan keluar parti.

"Sesiapa pun boleh keluar UMNO. Mereka masuk UMNO atas pilihan mereka dan boleh keluar UMNO atas kehendak mereka. Datang mereka tidak dijemput dan pergi mereka tidak dihalau.

"Malah UMNO lebih selamat dengan keluarnya golongan parasit yang menjadi duri dalam daging dalam parti. UMNO tidak rugi apa-apa.

"Kalau Timbalan Presiden boleh dipecat dan Naib Presiden boleh keluar UMNO, maka siapa sangat Ezam yang perlu dirasai kehilangannya? Biarlah dia keluar. Malah lagi ramai orang seperti Ezam yang keluar UMNO lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ezam kelmarin mengumumkan keluar UMNO atas alasan mahu mempertahankan prinsipnya menentang rasuah apabila Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang diperjuangkannya tidak dimansuhkan.

Mustapha berkata, Veteran UMNO mengingatkan kepada pucuk pimpinan UMNO supaya berhenti daripada 'menyusukan kera di hutan sehingga anak di pangkuan mati kehausan'.

Katanya, Veteran mendapati banyak peluang diberikan kepada mereka yang kembali kepada UMNO selepas memaki hamun parti dan pemimpin ketika di luar UMNO.

"Cukuplah dengan tindakan membalas budi yang boleh merugikan parti seperti itu. Susuilah anak yang di pangkuan dahulu. Mereka lebih berhak untuk mendapat kasih sayang berbanding kera di hutan," katanya.

Berita Harian X