Ahad, 11 September 2016 | 2:21pm

120,000 ahli UMNO masih bukan pengundi - Ismail Sabri

AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, Setiu, malam tadi. - Foto Rozainah Zakaria
AHLI Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, Setiu, malam tadi. - Foto Rozainah Zakaria

SETIU: Kepemimpinan UMNO di semua peringkat diminta mengenal pasti lebih 120,000 ahli parti di seluruh negara untuk didaftar sebagai pemilih dalam masa terdekat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ahli UMNO yang tidak berdaftar sebagai pengundi tidak dapat membantu parti memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Saya difahamkan usaha mendaftar ahli UMNO berusia 21 tahun ke atas sebagai pemilih giat dilakukan semua pemimpin parti termasuk di peringkat akar umbi.

"Bagaimanapun, usaha mengenal pasti ahli yang belum berdaftar sebagai pemilih perlu diperhebatkan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof; dan Ketua UMNO bahagian Besut, Nawi Mohamad.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, masalah pendaftaran ahli UMNO sebagai pemilih tidak sewajarnya berlaku kerana pemimpin parti sudah mempunyai rekod keahlian.

Berita Harian X