Sabtu, 10 September 2016 | 7:47pm

Pucuk pimpinan tentukan kerusi Parlimen Kuantan

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat (dua kiri) dan ahli perwakilan Umno membaca ikrar taat setia pada majlis mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuantan 2016 di Hotel MS Garden. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat (dua kiri) dan ahli perwakilan Umno membaca ikrar taat setia pada majlis mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kuantan 2016 di Hotel MS Garden. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: UMNO Bahagian Kuantan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon bertanding bagi kerusi Parlimen Kuantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat, berkata isu kerusi diserahkan kembali kepada MCA tidak timbul kerana ia adalah milik UMNO secara tradisi.

"Sejak dulu, kerusi (Parlimen Kuantan) ditandingi UMNO sebelum memberi laluan kepada MCA pada tahun 2004 dan 2008.

"UMNO kembali meletakkan calon pada PRU lalu selepas memberi laluan kepada MCA. Biarlah pucuk pimpinan parti menentukan siapa bertanding kelak. Tidak perlu ada desakan mana-mana pihak dan kami akan pastikan siapa juga calonnya, ia kembali dimenangi BN," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan, di sini, hari ini.

Mesyuarat dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Abdul Hamid Nazaharl; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Datuk Zaiton Mat dan wakil Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 20 Ogos lalu menyatakan hasrat parti berkenaan untuk kembali bertanding di tiga kerusi Parlimen yang ditandingi UMNO pada PRU lalu iaitu Parlimen Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju.

Berita Harian X