Sabtu, 27 Ogos 2016 | 4:58pm

'Pembangkang tiada niat mencari kebenaran'

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian labis di Dewan Majlis Daerah Labis, Johor . - Foto Syarafiq Abd Samah
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian labis di Dewan Majlis Daerah Labis, Johor . - Foto Syarafiq Abd Samah

LABIS: Pihak pembangkang tidak berminat mencari kebenaran, sebaliknya hanya mahu mengucar-kacirkan UMNO menerusi isu dibawa, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilakukan berdasarkan andaian ia melemahkan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembangkang memainkan isu itu bagi menyerang peribadi pemimpin supaya kepercayaan ahli UMNO terhadap kepemimpinan parti terjejas.

"Akhirnya kita bertelagah sesama sendiri. Dekat dua tahun kita `berperang' sesama sendiri, dua tahun kita rugi masa sedangkan sampai hari ini ia (isu 1MDB) tidak dapat dibuktikan.

"Kalau kita takut atau ada perkara untuk dilindungi, kenapa perkara itu diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk siasatan hingga keputusan mendapati tidak ada kes dalam isu 1MDB.

"Laporan PAC dibentangkan di Parlimen dan dalam PAC ada pembangkang termasuk Tony Pua. Masuk dalam Parlimen lagi ramai pembangkang ada dan mereka bebas membahaskan isu dalam laporan PAC (berkaitan 1MDB)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labis di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri; Ketua UMNO Bahagian Labis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azhar Ibrahim dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Labis, Mansor Birat.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pembangkang bukan mahu mencari kebenaran tetapi mahu meruntuhkan UMNO dan BN.

"Isu ini hanya berdasarkan apa yang tidak dapat dibuktikan dan akhirnya mereka tuduh Presiden kita (Datuk Seri Najib Razak) bersalah, suruh letak jawatan dan sebagainya, sedangkan ia hanya andaian," katanya.

Berita Harian X