Ahad, 21 Ogos 2016 | 2:13pm

Wanita UMNO perlu ikut perubahan, tahu guna media sosial

WANITA UMNO perlu akur terhadap kuasa media sosial yang mempunyai pengaruh besar pada zaman sekarang. - Foto hiasan
WANITA UMNO perlu akur terhadap kuasa media sosial yang mempunyai pengaruh besar pada zaman sekarang. - Foto hiasan

KUALA PILAH: Wanita UMNO perlu akur terhadap kuasa media sosial yang mempunyai pengaruh besar pada zaman sekarang, sekali gus memaksa mereka mengubah pendekatan mendekati masyarakat.

EXCO Wanita UMNO, Datuk Noraslina Zainal Abidin, berkata pemimpin dan ahli pergerakan itu di peringkat akar umbi tidak boleh hanya bekerja menggunakan cara lama yang tidak lagi berkesan.

"Sekarang zaman Facebook, Instagram, WhatsApp dan lain-lain dengan sesuatu isu boleh menjadi viral seterusnya dibaca dan diketahui jutaan orang dengan cepat tanpa kita jangka.

"Dulu lain, kalau ada sesuatu isu tidak menjadi viral. Kita ada masa yang lama untuk memberi penerangan atau menangkis tohmahan," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim dan Ketua Wanita UMNO Kuala Pilah, Datuk Norhayati Omar.

Noraslina berkata, Wanita UMNO perlu memahami perubahan itu seterusnya bertindak proaktif dan pantas dalam mempertahankan parti daripada tohmahan pihak luar, terutama pembangkang.

Katanya, gerak kerja pilihan raya perlu dilakukan awal bagi memastikan hubungan baik dengan pengundi termasuk mengenal pasti identiti mereka serta keluarga dapat diwujudkan sebelum hari pengundian.

Berita Harian X