Sabtu, 20 Ogos 2016 | 8:30pm

Sewa beli PPR Hiliran jadi manifesto BN Terengganu

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) berkesempatan bersalaman dengan ahli UMNO yang hadir di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu selepas merasmikan di Stadium Negeri Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) berkesempatan bersalaman dengan ahli UMNO yang hadir di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu selepas merasmikan di Stadium Negeri Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menukarkan status pemilikan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini, sebagai sewa beli jika UMNO berjaya memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penukaran PPR daripada sewa kepada sewa beli akan dimasukkan dalam manifesto BN pada PRU-14 nanti.

"Jika BN berjaya merampas semula kerusi DUN yang kini dikuasai pembangkang, kita akan menukar status PPR Hiliran itu daripada sewa ketika ini kepada sewa beli," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Kuala Terengganu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, PPR Hiliran mengandungi 1,000 unit rumah dan didiami kira-kira 1,200 penduduk sejak pertengahan tahun lalu.

Penduduk yang ditawarkan mendiami rumah itu dikenakan sewa sebanyak RM180 sebulan.

Sementara itu beliau berkata, masalah termasuk kemelut politik yang berlaku di negeri ini tidak menghalang parti untuk mencipta kejayaan.

Katanya, sebagai persiapan awal untuk menghadapi PRU 14, UMNO negeri akan memberi tumpuan kepada tiga agenda iaitu mengadakan pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM), melancarkan gerak kerja dan mengadakan simulasi pilihan raya.

"Tumpuan utama UMNO negeri dalam tempoh terdekat ialah menyelesaikan isu dalaman terutamanya berkaitan dengan kemelut politik dan kepimpinan.

"Kita juga akan memastikan pucuk pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Najib Razak tidak diganggu gugat dan UMNO negeri akan menjadi benteng bagi memerangi setiap isu dibangkitkan pembangkang," katanya.

Berita Harian X