Sabtu, 13 Ogos 2016 | 1:53pm
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Serangan dari dalam bahayakan UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO bukan saja berdepan dengan serangan luar malah tentangan dari dalam parti disebabkan terpengaruh dengan agenda pihak tertentu, khususnya pembangkang.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata serangan dari dalam parti adalah lebih bahaya kerana dibimbangi mempengaruhi ahli sehingga membenci parti sendiri yang perlu 'dipatahkan' segera.

"Contohnya, ketika Sarawak Report memfitnah Datuk Seri Najib (Razak) berhubung isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), isu itu turut digunakan pemimpin kanan parti untuk menyerang Perdana Menteri.

"Begitu juga saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB, ada ahli parti terpengaruh dan menjatuhkan hukuman terhadap Perdana Menteri sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

"Saya harap selepas pemimpin terbabit dipecat dan menubuhkan parti baharu, ahli yang tidak setia dan kecewa mengikuti jejak mereka untuk pemutihan parti dari anasir serangan dari dalam parti yang berbahaya.

"Ini kerana mereka akan mempengaruhi ahli lain membenci Najib yang akhirnya dibimbangi melemahkan UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Lembah Pantai, di Bangsar, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Berita Harian X