Jumaat, 12 Ogos 2016 | 9:29pm

Ahli UMNO perlu 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' - Razali

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ledang 2016 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ledang 2016 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

TANGKAK: Semua ahli UMNO perlu berpegang kepada cogan kata 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat' dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat secara keseluruhannya.

Katanya, ini kerana pegangan itu akan memberi kekuatan kepada UMNO terutama dalam berhadapan dengan cabaran daripada parti pembangkang atau parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas ahlinya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata sejak dari dahulu lagi UMNO sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran namun ia dapat diatasi hasil daripada kekuatan ahli parti.

Katanya, cabaran kali ini adalah parti baharu itu ditubuhkan oleh mereka yang sememangnya mengenali dan tahu selok belok mengenai UMNO.

"Musuh kita termasuk parti baharu akan cuba untuk memecah belahkan kita. Tidak mustahil mereka juga akan cuba mendapatkan ahli kita untuk menganggotai parti itu.

"Kita juga perlu merangka strategi baharu kerana yang menubuhkan parti baharu itu juga tahu selok belok dalam parti kita (UMNO). Justeru itu, kita juga perlu bijak dalam memasang strategi terutama dalam usaha memberi kepercayaan kepada rakyat kepada parti pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Ledang 2016 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar merangkap Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd Razak Minhat dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, semua ahli UMNO termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri perlu melipat gandakan usaha dalam menghadapi cabaran ini.

Katanya, musuh UMNO sentiasa mengintai serta cuba mengambil peluang terhadap sebarang kelemahan dan kita sebagai ahli perlu bekerja keras bagi memastikan parti keramat ini akan terus menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berita Harian X