Sabtu, 6 Ogos 2016 | 4:08pm

UMNO Kuala Terengganu pastikan parti baharu tidak bertapak

DATUK Mohd Sabri Alwi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, tengah hari tadi. - FOto Rozainah Zakaria
DATUK Mohd Sabri Alwi merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu, di Kuala Terengganu, tengah hari tadi. - FOto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: UMNO Bahagian Kuala Terengganu tidak akan membenarkan parti baharu yang bakal ditubuhkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bertapak di negeri ini.

Ketuanya, Datuk Mohd Sabri Alwi, berkata UMNO bahagian itu tidak memandang remeh penubuhan parti itu dan akan bekerja kuat untuk memastikan parti itu gagal memenangi kerusi jika meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Walaupun parti itu tidak akan mendapat tempat di hati pengundi kerana ditubuhkan atas kepentingan peribadi dan dendam, semua pemimpin UMNO perlu bersedia memastikan parti berkenaan gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum depan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu, di sini, tengah hari tadi.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Fatimah Hamat dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar.

Sementara itu, Mohd Sabri yang juga Pengerusi Pembangunan DUN Ladang berkata, pihaknya berbesar hati kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih UMNO Bahagian Kuala Terengganu untuk merasmikan mesyuarat perwakilan parti, pada 20 Ogos ini.

Beliau berkata, kesediaan Presiden UMNO untuk hadir merasmikan mesyuarat perwakilan itu adalah satu cabaran untuk semua pucuk pimpinan termasuk pemimpin di peringkat akar umbi.

"UMNO di Terengganu mempunyai lapan bahagian, tetapi hanya UMNO Bahagian Kuala Terengganu dipilih oleh presiden untuk merasmikan mesyuarat perwakilan dan pemilihan itu amat bermakna kerana semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerusi Parlimen dikuasai parti pembangkang.

"Saya juga difahamkan, presiden hanya memilih 13 termasuk UMNO Bahagian Kuala Terengganu dari keseluruhan 191 bahagian UMNO di seluruh negara untuk turun padang merasmikan mesyuarat perwakilan," katanya.

Berita Harian X