Sabtu, 6 Ogos 2016 | 11:05am

Krisis personaliti pemimpin punca kemelut berpanjangan

MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. - Foto NSTP
MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman (kanan) dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Rakyat tidak wajar diheret dalam pertelagahan peribadi dua pemimpin politik di Terengganu sehingga memaksa Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN), ketika tempoh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya tinggal kurang dua tahun.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata kemelut yang berlaku di negeri itu bukan krisis politik sebaliknya krisis personaliti antara dua tokoh, Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

"Tidak bijak mengadakan PRN yang akan membabitkan belanja yang banyak untuk tempoh kurang dua tahun. Malah, berdasarkan maklumat yang diperoleh, UMNO, Barisan Nasional (BN) akan menghadapi kesukaran untuk menang jika PRN diadakan berikutan krisis yang berlaku.

"Oleh itu, adalah lebih bijak sekiranya Menteri Besar Terengganu berusaha menyelesaikan krisis itu secara berhikmah. Keutamaan patut diberi untuk penyatuan dan solidariti UMNO Terengganu bagi menghadapi PRU-14 dan bukannya membubarkan DUN untuk PRN," katanya hari ini.

Mustapha berkata, jika penyelesaian di peringkat negeri gagal, Veteran UMNO mahu pucuk pimpinan tertinggi peringkat pusat mengambil alih tugas mendamaikan kedua-dua pemimpin itu.

Beliau berkata, pihaknya yakin Ahmad Razif dan Ahmad adalah tokoh berjiwa besar yang boleh duduk bersama untuk berunding.

"Veteran UMNO merayu kedua-dua mereka meletakkan keutamaan kepada usaha penyatuan barisan kepemimpinan UMNO Terengganu dalam menyusun strategi bagi mempertahankan Terengganu supaya kekal berada dalam penguasaan BN pada PRU-14," katanya.

Berita Harian X