Jumaat, 5 Ogos 2016 | 12:17pm

Bekas pemimpin UMNO hipokrit tidak perlu dipertahan

HAMZAH memotong kek selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan (BTPN), Pengkalan Chepa. - Foto Zaman Huri Isa
HAMZAH memotong kek selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan (BTPN), Pengkalan Chepa. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Ahli UMNO tidak perlu mempertahankan bekas pemimpin hipokrit yang memburukkan UMNO dan pemimpinnya apabila berada di luar parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata mereka sebenarnya telah memusuhi UMNO dan secara tidak langsung mereka juga dianggap menjadi musuh ketat parti itu.

Katanya, rakyat tidak sepatutnya terikut-ikut rentak bekas pemimpin UMNO seperti itu dengan menjadikan mereka pemimpin kerana mereka sebenarnya meletakkan agenda perjuangan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

"Pada saya, orang ini hipokrit. Dulu (ketika dalam UMNO) cakap lain, tapi sekarang cakap lain (memburukkan UMNO) apabila berada di luar parti. Orang macam ini, orang UMNO tak perlu pertahankan.

"Sebab tak kira siapa sekali pun, Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir), apabila keluar parti, mereka menjadi musuh ketat UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tiga peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Ketua Wanita UMNO bahagian, Zarina Md Eusope.

Beliau diminta mengulas tindakan Muhyiddin mahu menubuhkan parti baharu selepas dipecat daripada UMNO, sekali gus akan bersama pembangkang untuk menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak menafikan tetap ada segelintir ahli UMNO yang akan menyertai parti baharu itu tetapi ia tidak dianggap mampu mengancam UMNO dan BN.

Ini kerana, katanya hanya UMNO mampu mempertahankan orang Melayu, agama dan negara, bukannya parti pembangkang yang mempunyai agenda parti masing-masing.

"Kalau Muhyiddin tubuh parti semata-mata nak jatuhkan Presiden UMNO (Najib), itu bukan perjuangan. Itu kepentingan diri dan kalau bersama DAP untuk jatuhkan UMNO kerana tak mahu melihat lagi orang Melayu memerintah negara, maka biarlah orang Melayu sendiri fikirkan sama ada pembangkang boleh memerintah secara adil atau melakukan sesuatu yang merugikan orang Melayu.

"Percayalah, akhirnya Allah akan buktikan bahawa perjuangan yang dilahirkan secara ikhlas oleh datuk nenek-moyang kita untuk tubuhkan parti UMNO dan bekerjasama dengan parti komponen lain menerusi BN dapat mempertahankan kepemimpinan negara hari ini," katanya.

Berita Harian X