Rabu, 20 Julai 2016 | 1:21pm

Pakatan baharu berpaksi dendam ditolak

Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.
Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.

KUALA TERENGGANU: Parti baharu yang bakal ditubuhkan pembangkang tidak akan diterima rakyat kerana penubuhannya semata-mata atas kepentingan peribadi dan berasaskan dendam.

Ketua UMNO bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi, berkata ini berikutan rakyat kini bijak membuat penilaian dan akan hanya memilih parti yang ditubuhkan berasaskan kepentingan rakyat.

Katanya, parti baharu pembangkang yang akan ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih bersifat dendam dan berselindung di sebalik agenda melepaskan geram kepada pucuk pimpinan negara.

"Jelas, parti yang akan ditubuhkan ini bukan untuk memperjuangkan nasib rakyat, sebaliknya lebih kepada menunjukkan kehebatan pucuk pimpinannya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, senarai jawatankuasa pakatan baharu yang dimuat naik melalui laman sosial, jika betul, menunjukkan ia dibarisi bekas pemimpin tertinggi UMNO termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal selain beberapa bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan muktamar parti itu dua tahun lalu.

Mohd Sabri yang juga Pegawai Pembangunan Kuala Terengganu berkata, rakyat amat memahami hala tuju dan perjuangan pakatan serta parti baharu itu.

Berita Harian X