Selasa, 19 Julai 2016 | 6:51pm

UMNO tak tergugat parti baharu diasaskan orang kecewa

MENTERI Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) bersama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar (kanan) bersalaman bersama tetamu yang hadir pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Persekutuan Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
MENTERI Besar, Ahmad Razif Abd Rahman (dua dari kanan) bersama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar (kanan) bersalaman bersama tetamu yang hadir pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Persekutuan Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: UMNO tidak akan tergugat dengan penubuhan parti baharu yang dicanangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana ia ditubuhkan berasaskan kekecewaan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ia bukan kali pertama berlaku terhadap UMNO kerana berdasarkan sejarah, sudah beberapa kali parti terbesar negara ini melalui pengalaman sedemikian.

Katanya, UMNO akan terus relevan kepada rakyat Malaysia berdasarkan asas penubuhan parti itu sendiri yang berasaskan perjuangan disifatkan luar biasa.

"Mengikut pengalaman lalu, Allahyarham Datuk Onn Jaafar sendiri ada menubuhkan Parti Negara tapi apa yang terjadi kepada parti itu? Selepas itu wujud pula Parti Semangat 46 kemudian PKR dan banyak lagi.

"Parti yang ditubuhkan berasaskan kekecewaan tidak akan ke mana. Ia berdasarkan pengalaman dan sejarah. Saya percaya UMNO akan terus kekal relevan dulu, kini dan selamanya kerana ia berasaskan perjuangan luar biasa antara ahli serta pemimpin," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Studio Baharu Manis FM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu, menafikan berlaku perpecahan dalam UMNO, sebaliknya pergolakan ditimbulkan sesetengah pihak yang kecewa.

"Saya tidak nampak ada perpecahan dalam parti, malah UMNO berani mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana ahli atau pemimpin yang bermasalah.

"Perkara ini berbeza dengan apa yang berlaku kepada parti lain kerana jika dilihat penubuhan parti serpihan daripada UMNO diwujudkan selepas individu terbabit keluar atau dipecat.

"Justeru, mereka ini sudah tidak ada kaitan lagi dengan UMNO," katanya.

Berita Harian X