Rabu, 29 Jun 2016 | 3:09pm

Lepas jawatan jika BN gagal rampas kerusi

KETUA UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi menyampaikan watikah perlantikan jawatankuasa J3K kepada Pengerusi J3K Kampung Gong Penaga, Habsah Mat Zain. - Foto BAHAROM BAKAR
KETUA UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi menyampaikan watikah perlantikan jawatankuasa J3K kepada Pengerusi J3K Kampung Gong Penaga, Habsah Mat Zain. - Foto BAHAROM BAKAR

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Pembangunan Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berikrar akan melepaskan jawatan jika calon Barisan Nasional (BN) gagal merampas kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, tiada gunanya memegang jawatan tertinggi di peringkat bahagian jika UMNO gagal merampas kerusi Parlimen dan DUN yang kini diwakili pemimpin pembangkang.

"Saya menawarkan diri untuk tidak bertanding menerajui kepimpinan UMNO, tetapi akan memberi sokongan kepada kepimpinan UMNO yang akan dipilih ahli di peringkat akar umbi pada pemilihan parti yang akan diadakan selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Walaupun tidak memegang jawatan, saya akan tetap setia dan berjanji tidak berpaling tadah serta menderhaka kepada parti," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian watikah perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) peringkat Daerah Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Ketika mengulas pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli UMNO, Mohd Sabri berkata, ia tidak menjejaskan keyakinan rakyat kepada BN dan UMNO.

Katanya, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar di Selangor membuktikan keyakinan rakyat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Berita Harian X