Rabu, 11 Mei 2016 | 3:33pm

Setia kepada UMNO sebagai institusi Melayu - Veteran UMNO

DATUK Mustapha Yaakub. - Foto fail NSTP
DATUK Mustapha Yaakub. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kelab Veteran UMNO percaya konsep 'setia sepanjang hayat' yang dizahirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, perlu difahami dalam konteks setia kepada parti, bukan kepada setia kepada kepemimpinan semata-mata.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata pemimpin boleh ditukar ganti apabila sampai masa mereka berundur atau digugurkan tetapi UMNO sebagai institusi perlu dikekalkan dan dipertahankan walaupun tidak semua orang Melayu menyokong UMNO.

"Apa yang dimaksudkan Presiden UMNO dengan kesetiaan ialah setia kepada UMNO sebagai satu institusi Melayu yang banyak berjasa kepada negara dan bangsa tanpa menafikan sumbangan serta jasa dicurahkan pemimpinnya.

"Konsep itu perlu bersandarkan kepada semangat bahawa UMNO adalah parti yang orang Melayu boleh menaruh harapan untuk membela nasib mereka," katanya kepada BH.

Justeru, Mustapha berkata, UMNO perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli tanpa mengira kedudukan dalam parti jika melakukan tindakan yang dianggap mengkhianati parti seperti bersekongkol dengan pembangkang mengkritik kepimpinan parti.

Katanya, membiarkan mereka yang menimbulkan masalah untuk terus kekal dalam parti tanpa diambil tindakan boleh menghilangkan keyakinan ahli kepada parti dan pucuk kepemimpinan.

"Ia sama seperti seperti membiarkan api membara dalam sekam dan menyembunyikan gunting dalam lipatan," katanya.

Berita Harian X