Selasa, 5 April 2016 | 3:26pm

Jerip Susil calon langsung BN pertama

Datuk Dr Jerip Susil
Datuk Dr Jerip Susil

SERIAN: Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengoh, Datuk Dr Jerip Susil menjadi calon langsung Barisan Nasional (BN) pertama yang diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Bagaimanapun Adenan, yang juga pengerusi BN negeri, akan mengumumkan senarai penuh calon langsung BN esok.

Dr Jerip akan bertanding bagi kerusi Mambong, sebelum ini dikenali sebagai Bengoh, dan pengumuman itu dibuat Adenan ketika beliau berucap merasmikan kompleks pejabat kerajaan negeri, pusat persidangan Serian dan sambungan kawasan perbandaran baharu Serian di sini.

Ketika ditemui pemberita kemudian, ketua menteri berkata Dr Jerip adalah dalam pasukannya dan beliau akan mengumumkan senarai penuh calon langsung BN dalam sidang akhbar esok.

Adenan bagaimanapun enggan menyatakan jumlah keseluruhan calon langsung BN yang akan diketengahkan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Dr Jerip, yang memenangi kerusi DUN berkenaan tiga kali sejak 2001 atas tiket Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)-BN, meninggalkan parti itu pada 2014 untuk menubuhkan sebuah parti baharu, Parti Rakyat Bersatu (UPP) bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh serta dua lagi wakil ADUN daripada SUPP, Ranum Mina (Opar) dan Johnical Rayong (Engkilili).

UPP adalah parti mesra BN manakala Jerip dan Wong pula terus menganggotai kabinet Adenan.

Mambong menjadi pangkalan politik Jerip sejak dua dekad lepas.

Sebelum memenangi pilihan raya atas tiket SUPP-BN pada 2001, beliau bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan sama pada 1996 dan kalah tipis kepada mendiang Datuk William Tanyuh, yang mewakili SUPP-BN. - BERNAMA

Berita Harian X