Sabtu, 2 April 2016 | 11:06pm

UMNO Terengganu isytihar 2016-2017 sebagai 'Tahun Perang'

MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) menerima penyerahan `Deklarasi Sokongan Kepimpinan Akar Umbi' daripada Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee (kiri) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. - Foto Aswadi Alias
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) menerima penyerahan `Deklarasi Sokongan Kepimpinan Akar Umbi' daripada Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee (kiri) di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA NERUS: UMNO Terengganu mengisytiharkan 2016-2017 sebagai 'Tahun Perang' sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata UMNO negeri sedang mengatur strategi untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kawasan Parlimen pada PRU nanti.

"UMNO negeri akan mengagihkan bantuan kewangan kepada semua cawangan bagi persiapan bilik gerakan atau membina markas-markas pilihan raya serta menyediakan apa saja keperluan membabitkan RM5,000 setiap cawangan.

"Ini menunjukkan kesungguhan Badan Perhubungan UMNO untuk menghadapi PRU kerana merasakan ini adalah masa terbaik untuk merapatkan semula saf kepimpinan," katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan khas kepimpinan akar umbi UMNO negeri di sini, hari ini.

Sebanyak 4,401 pemimpin peringkat bahagian, cawangan, sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO menghadiri perjumpaan itu.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Serikandi ke-29 di Besut, Ahmad Razif berkata, rakyat Terengganu dilihat semakin matang dan tidak terpengaruh dengan pelbagai isu dibangkitkan pihak tertentu bagi menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, tinjauan dibuatnya mendapati isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma berjumlah RM2.6 bilion kepada perdana menteri tidak mengikis kepercayaan rakyat negeri ini terhadap kepimpinan negara.

"Rakyat Terengganu dilihat lebih memilih untuk ambil tahu mengenai isu-isu mempertingkatkan kehidupan mereka daripada isu-isu yang sia-sia seperti yang ditimbulkan oleh pihak yang mempunyai kepentingan peribadi," katanya.

Ahmad Razif yakin dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh rakyat itu, Terengganu akan terus dikuasai Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang.

- BERNAMA

Berita Harian X