Jumaat, 18 March 2016 | 5:17pm

MUBARAK tak boleh terima individu menentang kerajaan

PRESIDEN MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman (duduk, dua kiri) bersama sebahagian NGO mengangkat tangan bersama selepas menandatangani kenyataan bersama menentang gerakan kumpulan menggulingkan kerajaan, di Kuala Lumpur, semalam. Sejumlah 42 NGO menandatangani deklarasi berkenaan. - Foto BERNAMA
PRESIDEN MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman (duduk, dua kiri) bersama sebahagian NGO mengangkat tangan bersama selepas menandatangani kenyataan bersama menentang gerakan kumpulan menggulingkan kerajaan, di Kuala Lumpur, semalam. Sejumlah 42 NGO menandatangani deklarasi berkenaan. - Foto BERNAMA

KOTA BHARU: Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) tidak boleh menerima individu yang tidak lagi menyokong kerajaan berada dalam pertubuhan itu.

Naib Pengerusi Kanan MUBARAK Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata majlis itu ditubuhkan sebagai tempat bekas wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terus memberi sokongan kepada kerajaan BN.

Beliau berkata, dalam kes bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia jelas bertentangan dengan dasar pertubuhan itu apabila beliau secara terbuka menentang kerajaan.

Katanya, lebih malang Dr Mahathir kini bersekongkol dengan pembangkang termasuk DAP yang menentang dasar Islam.

"Apabila Dr Mahathir menentang kerajaan dan sudah keluar UMNO, maka kedudukan beliau sebagai Penaung MUBARAK terlucut dengan sendirinya."

Apa pun MUBARAK tidak boleh mempunyai ahli yang tidak sealiran dengan kepemimpinan kerajaan," katanya kepada BH di sini, semalam.

Semalam akhbar melaporkan jawatan Dr Mahathir sebagai penaung MUBARAK terlucut secara automatik selepas beliau mengisytiharkan keluar daripada UMNO.

MUBARAK dianggotai 620 bekas wakil rakyat melantik Dr Mahathir sebagai penaung sejak majlis itu ditubuhkan pada tahun 2005 atas kapasiti sebagai bekas Presiden UMNO dan bekas Pengerusi BN, selain ahli UMNO.

Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata susulan tindakan Dr Mahathir, Majlis Tertinggi MUBARAK yang mengadakan mesyuarat khas, kelmarin memutuskan menghantar surat sebagai menghargai khidmat bakti beliau sepanjang dilantik penaung pertubuhan itu.

Mohd Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar II, berkata MUBARAK Kelantan amat kesal dan kecewa dengan sikap Dr Mahathir yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang hanya semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, MUBARAK berasa hairan bekas Perdana Menteri itu mahu menjatuhkan kerajaan dan Najib, sedangkan negara berada dalam keadaan aman damai.

"Mana mungkin Dr Mahathir mahu supaya semua orang mengikut telunjuknya, sedangkan kita bukan lagi Perdana Menteri.

"Lebih teruk lagi beliau sanggup mengelirukan rakyat dengan gagasan selamatkan Malaysia dan turunkan Najib, walhal rakyat dan negara berada dalam aman damai dan bebas bergerak ke mana sahaja," katanya.

Berita Harian X