Khamis, 17 March 2016 | 10:34pm

UMNO Bayan Baru sokong penuh PM

GEORGETOWN: UMNO Bahagian Bayan Baru berikrar menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ketuanya, Datuk Mansur Musa, berkata pihaknya kesal dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa tokoh UMNO yang sanggup bersekongkol dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan.

"UMNO Bayan Baru berpendirian bahawa tindakan itu adalah tidak beradab dan melanggar prinsip serta asas perjuangan bangsa Melayu dan UMNO," katanya pada sidang media sempena Majlis Taklimat dan Perasmian Serentak Persidangan Cawangan UMNO di sini, sebentar tadi.

Majlis yang turut dihadiri kira-kira 700 ahli dan pemimpin UMNO Bahagian Bayan Baru itu, dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Pada 4 Mac lalu, Dr Mahathir bersama-sama beberapa pemimpin pembangkang, bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pemimpin UMNO menandatangani satu deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri.

Mansur berkata, tindakan menjatuhkan Perdana Menteri menerusi gerakan berkenaan jelas tidak mengikut amalan demokrasi dan tidak menghormati proses pilihan raya serta pemilihan parti.

Katanya, mereka juga mendesak supaya Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan Tatatertib parti untuk diambil tindakan.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, sokongan terhadap Najib yang sudah dinyatakan akar umbi UMNO sekali gus membuktikan bahawa sistem pungutan suara tidak relevan untuk dilaksanakan.

"Saya hairan apabila negarawan seperti Tun M (Dr Mahathir) boleh mencadangkan sistem tidak demokrasi ini. Ia jelas bertentangan dengan prinsip beliau sepanjang mentadbir negara ini suatu ketika dahulu.

"Dulu, Tun M sendiri tolak sebarang tindakan tidak demokrasi, sebaliknya kini beliau yang mengetuai gerakan menggulingkan Najib," katanya.

Berita Harian X