Isnin, 7 March 2016 | 5:20pm

Pecat Muhyiddin, Mukhriz, lucut jawatan kerajaan Dr M

DATUK Abu Bakar Harun. - Foto Luqman Hakim Zubir
DATUK Abu Bakar Harun. - Foto Luqman Hakim Zubir

PEKAN: UMNO Bahagian Pekan mendesak Jawatankuasa Disiplin Majlis Tertinggi UMNO memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana melanggar prinsip serta mensabotaj parti.

Ia adalah antara ketetapan dibuat oleh UMNO Bahagian Pekan yang diumumkan pada sidang medianya di sini, sebentar tadi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Abu Bakar Harun berkata, UMNO bahagian itu juga mahu supaya semua jawatan berkaitan kerajaan yang dipegang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dilucutkan.

Katanya, pihaknya kecewa dan marah dengan tindakan Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz yang bersekongkol dengan pemimpin pembangkang khususnya Lim Kit Siang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO.

"Tindakan kumpulan desperado politik diketuai Dr Mahathir yang sebelum ini mengisytiharkan keluar UMNO dan beberapa pemimpin UMNO lain adalah satu perbuatan memalukan, tidak berprinsip, gelojoh dan menjatuhkan maruah.

"Konspirasi memalukan ini boleh menjejaskan imej Malaysia yang mendokong demokrasi di kaca mata dunia khususnya negara menjadi sahabat dan rakan politik sejak sekian lama," katanya di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X