Isnin, 7 March 2016 | 11:52am

Mahathir mahu Mukhriz jadi PM - Puad Zarkashi

DATUK Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Mohd Syafiq Ambak
DATUK Dr Mohd Puad Zarkashi. - Foto Mohd Syafiq Ambak

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya mahu menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri sekiranya dapat menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu didedahkan Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengetahui motif Mahathir yang bersungguh-sungguh menyerang Najib yang juga Presiden UMNO.

Katanya, motif itu disedari apabila Mahathir tidak menyebutkan siapa pengganti Najib jika meletakkan jawatan.

"Mahathir terlalu taasub dengan agenda Mukhriz menjadi Perdana Menteri sehingga sanggup melemparkan fitnah terhadap Najib, malah duduk semeja dengan Lim Kit Siang, yang menjadi seteru orang Melayu dan Islam.

"Tindakan Mahathir keluar UMNO adalah untuk menghalalkan kerjasama beliau dengan DAP sebagai rakan untuk memaksa Najib meletak jawatan melalui demonstrasi jalanan," katanya kepada BH di sini, sebentar tadi.

Jumaat lalu, Mahathir bersama anaknya, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersekongkol dengan pembangkang bagi mendesak Najib meletak jawatan Perdana Menteri, di Pusat Alumni Universiti Malaya, di sini.

Mohd Puad berkata, Mukhriz dan Mahathir gagal memahami perjuangan UMNO bahawa akar umbi akan menolak pemimpin yang rakuskan takhta dan kuasa.

"Akar umbi menolak pemimpin yang sanggup menjatuhkan Presiden UMNO dengan menggunakan musuh orang Melayu dan Islam iaitu DAP.

"Mukhriz perlu tahu tidak ada jalan pintas untuk jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X