X
Ahad, 6 March 2016 | 4:20pm

Deklarasi Rakyat: MT tidak perlu panik - Veteran UMNO

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak perlu panik dengan mengadakan mesyuarat tergempar untuk menghukum pemimpinnya termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut serta menandatangani 'Deklarasi Rakyat' untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, Jumaat lalu.

Setiausaha Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata tindakan dilakukan pemimpin terbabit hanya perkara kecil yang tidak menggugat kekuatan parti, malah menimbulkan kemarahan penyokong Barisan Nasional (BN) kerana mereka bersekongkol dengan pembangkang.

   

"Kami harap pemimpin UMNO tidak mengadakan mesyuarat tergempar membincangkan sebarang tindakan terhadap pemimpin parti terbabit gerakan menjatuhkan Najib. Buat-buat tak tahu saja apa yang mereka lakukan," katanya kepada BH, sebentar tadi.

Mustapha diminta mengulas kewajaran mengadakan mesyuarat tergempar untuk menghukum Muhyiddin; selain Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kerana menghadiri program menandatangani `deklarasi rakyat'.

Jumaat lalu, Dr Mahathir bersama Muhyiddin serta beberapa pemimpin pembangkang termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menandatangani `Deklarasi Rakyat' untuk menjatuhkan Najib.

Berita Harian X