Sabtu, 5 March 2016 | 1:12pm

UMNO Pahang kecewa sikap Dr Mahathir

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Farizul Hafiz Awang
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: UMNO Pahang kecewa dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersama-sama pembangkang dalam usaha menyingkirkan Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, tindakan Mahathir itu dilihat sangat tidak wajar dan menganggapnya sebagai satu usaha terancang yang tidak sepatutnya berlaku.

"Kita (UMNO Pahang) sedih dan mengecam keras tindakan Tun (Dr Mahathir) serta pemimpin UMNO lain yang turut serta bersekongkol dengan pembangkang dalam cubaan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.  

"Sebagai Presiden dan Perdana Menteri, kami percaya Najib sedang memberikan perhatian serius dalam menguruskan ekonomi negara yang tidak menentu akibat ketidaktentuan ekonomi secara global.

"Sudah pasti, kerajaan mengambil maklum segala keresahan rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup dan usaha bagi mengatasinya sudah, sedang dan akan dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.  

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang berkata, setiap tindakan atau keputusan dilakukan Dr Mahathir sepatutnya dilakukan mengikut prinsip, nilai dan maruah menggunakan saluran disediakan parti.  

Katanya, keputusan Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir memilih bekerjasama dengan pembangkang adalah satu sabotaj besar kepada UMNO, Kerajaan dan negara.

"UMNO Pahang tetap memberikan sokongan padu kepada Najib dan kita juga sentiasa mengalu-alukan perbezaan pendapat, asalkan dilakukan secara teratur serta beradab.

"Kita minta Najib teruskan perjuangan dengan penuh semangat demi rakyat dan buatlah yang terbaik bagi menjaga kepentingan Islam, bangsa dan negara," katanya.

Berita Harian X