Rabu, 9 Disember 2015 | 3:00pm

Wanita UMNO ikrar berdiri teguh di sisi presiden

PERWAKILAN Wanita UMNO mengangkat tangan menyokong usul yang dibentangkan pada Persidangan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin
PERWAKILAN Wanita UMNO mengangkat tangan menyokong usul yang dibentangkan pada Persidangan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO berikrar untuk berdiri teguh di sisi Datuk Seri Najib Razak dan memberi kekuatan kepada Presiden UMNO supaya pembangkang di luar mahupun yang tidak sealiran dalam parti tidak dapat melemahkan institusi presiden.

Mengakui UMNO sedang menghadapi ujian namun menegaskan ia bukan asing, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika merasmikan Perhimpunan Wanita UMNO 2015 di sini hari ini, mengajak anggota pergerakan itu untuk memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Najib yang juga Perdana Menteri.

"Kita ikut tradisi. Kita sokong presiden kita. Kita sokong pemimpin-pemimpin kita. Maka pada akhirnya, kita mampu keluar daripada kemelut dan krisis dengan mencapai kejayaan yang membanggakan," katanya.

Seramai 983 perwakilan Wanita dari 191 bahagian hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Dalam ucapan perasmiannya itu, Shahrizat turut menyorot pelbagai peristiwa kelabu dan hitam yang dilalui UMNO.

Beliau berkata, bermula sejak zaman awal penubuhannya, UMNO sering diuji seperti pengunduran pengasasnya, Datuk Onn Jaafar selain pernah diduga dengan pengharaman UMNO pada 1988.

Katanya, begitu juga peletakan jawatan Tun Musa Hitam sebagai timbalan perdana menteri semasa beliau memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi timbalan presiden UMNO oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

"Kala ini kita sedang melalui saat-saat getir umpama langit akan runtuh, bumi akan rebah, sungai akan kering, laut akan kontang.

"Namun begitu acap kali kita menghadapi cabaran, dugaan, tentangan, tragedi, trauma, kita masih bersatu menghadapinya, ibarat setempuh lalu, sebondong surut," katanya.

Shahrizat berkata, UMNO matang dengan jiwa yang besar, penuh dengan pengalaman yang mendewasakan, tenang dalam kesatuan yang diwariskan.

Berkat kesatuan, katanya, Wanita UMNO yakin dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Beliau mengingatkan ahli pergerakan itu bahawa mentaati pemimpin menjadi kekuatan yang dicemburui mereka yang ingin memusnahkan parti yang subur dengan pejuang bangsa yang berjiwa kental.

"Kita ibu yang menjadi tulang belakang parti. Tidakkan haus kepercayaan, tidakkan usai perpaduan kami demi parti UMNO yang telah banyak berbakti kepada rakyat," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X