Rabu, 9 September 2015 | 3:12pm
TAN Sri Muhyiddin Yassin tiba di Menara Dato' Onn bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
TAN Sri Muhyiddin Yassin tiba di Menara Dato' Onn bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Mohd Shafie Apdal tiba di Menara Dato' Onn bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Mohd Shafie Apdal tiba di Menara Dato' Onn bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Muhyiddin, Shafie Apdal tiba untuk mesyuarat MT UMNO

KUALA LUMPUR: Dua tokoh UMNO yang sebelum ini digugurkan daripada barisan Kabinet, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba di Menara Dato' Onn di sini, bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, hari ini.

Muhyiddin tiba pada jam 2.45 petang sementara Shafie pada kira-kira jam 2.40 petang.

Muhyiddin yang sebelum ini adalah Timbalan Perdana Menteri, masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO, sementara Shafie yang sebelum ini memegang portfolio Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, masih Naib Presiden UMNO.

Turut dijangka hadir, seorang lagi bekas Menteri Kabinet yang digugurkan, Datuk Seri Hassan Malek yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Ini adalah mesyuarat MT pertama selepas rombakan baharu Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 Julai lalu. Mesyuarat MT UMNO petang ini menarik perhatian umum termasuk penganalisis politik memandangkan wujud pelbagai spekulasi kemungkinan berlaku pemecatan beberapa individu penting termasuk jawatan nombor dua dalam parti itu.

Namun, spekulasi pemecatan yang tersebar sejak beberapa hari lalu dinafikan pemimpin kanan UMNO termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin serta seorang ahli MT, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Namun nada resah sebelum ini dibangkitkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang membayangkan mesyuarat dijangka bermula jam 3.30 petang ini adalah sesuatu yang penting dan mustahak.

Ini termasuk pelbagai isu yang melingkari parti itu ketika ini termasuk dakwaan UMNO mula berpecah di peringkat akar umbi selain usul-usul dikemukakan pada mesyuarat peringkat bahagian yang turut menyentuh mengenai integriti kepemimpinan tertinggi.

Resolusi diluluskan oleh UMNO Bahagian ketika mesyuarat perwakilan lalu antara intipati yang akan dibawa dalam perbincangan serta mesyuarat MT petang ini, selain penetapan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Berita Harian X